23 Cara Memikat Suami Yang Terbukti Berkesan – Isteri Wajib Baca

Masih tercari-cari cara memikat suami yang dijamin berkesan? Tip kali ini akan membantu anda membuat suami jatuh cinta kembali kepada anda.

Ramai isteri menganggap tugas untuk menggoda dan menjaga keharmonian rumahtangga adalah tanggungjawab suami. Mereka melepaskan beban tersebut kepada suami dan berharap suami akan sentiasa menggoda dan menjaga hati mereka.

Alasan yang diberikan ialah sibuk dengan kerjaya dan anak-anak.

Tanggapan ini membuat ramai isteri yang mengabaikan kewajipan untuk menjaga hati suami, zahir mahupun batin. Akibatnya anda sendiri tahu, hubungan suami isteri semakin hambar dan lebih teruk lagi boleh menjurus kepada perceraian.

Tetapi saya tahu anda tidak seperti itu. Buktinya anda sedang mencari ilmu bagaimana cara memikat suami, menjaga hati suami dan membuat suami bertambah sayang. Buktinya anda menjumpai dan sedang membaca artikel ini.

Tahniah saya ucapkan.

cara memikat suami

Cara memikat suami untuk keharmonian rumahtangga

Sebelum ini saya sering memberikan cara atau teknik bagaimana untuk memikat dan melayan suami di ranjang. Tetapi tip kali pula lebih tertumpu kepada cara memikat suami secara keseluruhan, bukan hanya di ranjang.

Kadang kala sedikit perubahan yang kita lakukan dalam kehidupan kita boleh memberi kesan yang sangat hebat, tanpa kita sedari. Teori ini secara tidak langsung boleh diaplikasikan kepada teknik memikat suami yang boleh anda praktikkan.

Berikut saya berikan 23 cara memikat suami yang boleh anda amalkan supaya suami bertambah sayang dan cinta.

Layan suami seperti raja

Suami anda adalah raja dalam kehidupan anda. Ini adalah fakta. Beliau adalah khalifah dan ketua keluarga. Tetapi jangan salah faham. Tak perlulah anda melayan suami seperti yang dipaparkan dalam filem-filem klasik dahulu kala. Tak perlu sembah dan sebagainya.

Layan suami seperti raja yang saya maksudkan disini lebih kepada menghormati suami dan meletakkan keperluan suami terlebih dahulu dari keperluan anda. Ada sesetengah isteri yang ego, terutama jika mereka berkerjaya atau gaji mereka lebih tinggi dari suami.

Mereka merendahkan suami dan meletak keperluan mereka sebelum suami. Ini sudah lari dari konsep sebenar hidup suami isteri. Oleh itu pastikan anda melayan suami anda seperti “Raja” rumahtangga anda berdua.

Sentiasa ucap terima kasih

Bila kali terakhir anda mengucapkan terima kasih kepada suami? Jika baru sebentar tadi, anda seorang isteri yang hebat!

Jika anda sendiri tak ingat, anda harus melihat kembali kenapa anda jarang mengucapkan terima kasih kepada suami. Adakah anda menganggap apa yang suami lakukan, bantuan atau hadiah yang suami berikan sudah menjadi tanggungjawab beliau, lalu tak perlu anda ucapkan terima kasih?

Biasakan diri anda untuk sentiasa ucap terima kasih kepada suami. Ini menunjukkan anda menghargai setiap bantuan atau pemberian suami. Secara tidak langsung menaikkan ego suami(dalam konteks yang baik). Hasilnya suami akan bertambah sayang kepada anda.

Kurangkan berleter

cara memikat suami kurangkan berleter

Berleter dan kaum wanita memang tak dapat dipisahkan. Yang menjadi masalah jika berleter menjadi rutin harian.

Jika anda sering berleter kepada suami, cuba renung kembali, kenapa? Kenapa anda berleter kepada suami? Adakah suami anda membuat kesalahan? Atau anda ingin melepaskan kemarahan dan stress anda kepada suami?

Jika boleh kurangkan berleter kepada suami. Tidak ada suami yang suka mendengar leteran isteri mereka, walaupun mereka tahu mereka melakukan kesalahan dan memang patut untuk menerima leteran isteri. Ini adalah lumrah rumahtangga yang tidak dapat dielakkan, tetapi menjadi mudarat jika dilakukan dengan berlebihan.

Lebih elok jika anda tukar leteran anda kepada teguran lembut atau ugutan manja. Teknik ini lebih berkesan untuk membuat suami menurut arahan anda berbanding berleter.

Sentiasa berhias

Ini juga sikap buruk kebanyakan isteri, terutama ketika di rumah. Jika ke tempat kerja berhias seperti super model, di rumah orang gaji pun kalah.

Saya tahu ramai isteri tak punya masa untuk berhias di rumah. Balik kerja banyak tanggungjawab yang perlu dilangsaikan, terutamanya bagi yang mempunyai ramai anak. Jadi bagaimana untuk berhias di rumah dalam masa yang singkat?

Caranya sangat mudah. Cuma ubah penampilan anda. Jika sebelum ini anda selesa mengenakan T-Shirt dan berkain batik, ubah kepada T-Shirt dan seluar pendek. Mudah tetapi seksi di mata suami. Begitu juga jika sebelum ini anda membiarkan rambut menggerbang dan tidak terurus, ikat rambut anda atau sanggul ringkas supaya suami dapat melihat leher anda yang cantik tu.

Mudah bukan?

Ambil berat penampilan suami

Suami anda seorang yang simple atau suka bergaya? Jika suami anda tergolong dalam golongan lelaki Metroseksual, mungkin anda tak perlu bersusah payah menjaga penampilan beliau.

Lelaki Metroseksual menurut Wikipedia adalah lelaki yang sangat menitik beratkan penampilan mereka. Kadang-kadang tu mengalahkan wanita.

Tetapi ini tidak bermakna anda boleh terus mengabaikan beliau. Lelaki Metroseksual suka ber shopping. Jadi tak salah jika anda menemani suami setiap kali beliau ingin membeli-belah keperluan beliau. Tunjukkan bahawa anda mengambil berat penampilan beliau.

Jika suami anda seorang yang simple, anda perlu bekerja keras sedikit. Tetapi jangan keliru, anda tidak perlu ubah penampilan beliau. Jika beliau gemar berpakaian simple, T-Shirt dan jean lusuh, biarkan. Anda cuma perlu pastikan pakaian beliau sentiasa tersusun kemas.

Anda juga boleh menghadiahkan toiletries kepada suami anda. Atau boleh sahaja anda membeli pencuci muka jika sebelum ini suami hanya menggunakan sabun untuk membasuh muka beliau. Dan sebagainya. Gunakan imaginasi anda untuk menjaga penampilan suami. Anda lebih tahu cita rasa suami anda.

Jangan terlalu membangkang

Jangan suka membangkang atau melawan cakap suami, walaupun suami anda salah dan anda tahu anda betul. Anda mesti berfikir, tak bolehlah macam tu, kebenaran mesti ditegakkan.

Betul, tetapi bagaimana anda nak menegakkan kebenaran tersebut. Adakah dengan membangkang dan memberitahu suami anda beliau salah? Tidak, cara yang lebih berkesan ialah dengan memberi penjelasan secara lembut kenapa beliau salah.

Anda perlu berikan fakta dan point berkaitan yang menunjukkan apa yang beliau lakukan itu salah, dengan lembut.

Kaum lelaki lebih mudah menerima fakta berbanding sesuatu yang abstrak. Oleh itu jika anda menerangkan kepada suami berdasarkan fakta, sudah pasti beliau akan mudah menerima hakikat yang beliau salah.

Manja tetapi jangan over atau mengada-ngada

Semua isteri ingin manja dengan suami mereka. Ini tak menjadi masalah dan adalah satu perkara yang perlu dilakukan oleh semua isteri. Yang menjadi masalah apabila sikap manja tersebut menjadi terlampau atau mengada-ngada.

Suami suka jika isteri mereka manja dengan mereka. Tetapi jika selalu sangat, dan kelihatan seperti dipaksa-paksa, suami akan menjadi jemu dan bosan dengan sikap anda.

Jadi manjalah dengan suami, tetapi jangan terlalu mengada-ngada. Pastikan masa dan keadaan sesuai dan lakukan dengan berpatutan.

Kurangkan merajuk

cara memikat suami kurangkan merajuk

Benar ke suami suka memujuk isteri yang sedang merajuk? Sudah pasti jika suami anda seorang yang romantik. Malangnya tak semua suami lelaki romantis seperti dalam novel cintan cintun yang berlambak di pasaran sekarang ni.

Tak salah jika anda ingin merajuk dengan suami, tetapi jangan pula marah jika suami tak pujuk. Merajuk sekejap sudahlah. Letak ke tepi sekejap ego anda. Dan jangan pula kerap sangat merajuk sampai suami jadi jemu dengan sikap anda.

Pastikan juga alasan anda untuk merajuk tu kukuh. Jangan setiap perkara kecil anda nak merajuk dan protes kepada suami. Rajuk berpanjangan boleh memberi kesan negatif kepada hubungan rumahtangga anda berdua.

Jangan memperkecilkan suami

Kaum lelaki ego mereka tinggi. Saya pasti suami anda juga tidak terkecuali. Kadang-kala mungkin anda terlepas cakap dan menggores hati suami. Anda mungkin tak sedar hati suami anda tercalar dengan perbuatan anda.

Saya pasti suami tidak akan berdepan dan menyatakan yang anda telah membuat beliau kecil hati.

Oleh itu anda perlu lebih berhati-hati lebih-lebih lagi tentang perkara-perkara yang boleh membuat suami terasa hati.

Puji suami di hadapan rakan/keluarga

Seperti kaum wanita, kaum lelaki juga suka dipuji. Malah setiap insan suka menerima pujian. Tambahan lagi jika pujian yang beliau terima adalah dari insan yang dekat dengan mereka.

Oleh itu tak salah jika kadang-kala anda memuji suami anda, terutama di hadapan rakan-rakan atau keluarga.

Pujian kepada suami tak perlu ‘direct’. Boleh sahaja anda lakukan secara kiasan atau secara halus. Click To Tweet

Ini adalah seni memuji yang perlu anda pelajari. Tetapi pastikan jangan terlalu ‘over’.

Jika anda memuji suami anda dengan ikhlas, sudah pasti suami anda akan lebih menghargai anda secara tidak langsung.

Jangan buat suami tertunggu-tunggu

Kaum lelaki cukup pantang apabila mereka perlu menunggu seseorang. Tetapi yang ironinya mereka tak kisah kalau mereka pula yang buat orang tertunggu-tunggu.

Saya pasti suami anda juga begitu. Kadang-kala mereka mudah meradang atau hilang mood jika perlu menunggu isteri mereka. Selalunya ketika isteri bersiap. Mereka tak faham kaum wanita perlu berdandan untuk penampilan diri di mata masyarakat. Nak buat macam mana kan, memang lumrahnya begitu.

Jika anda memang seorang yang mengambil masa yang lama untuk mandi, berdandan dan bersiap, selepas ini gunakan teknik ‘time management’ dengan lebih teratur. Contohnya mandi lebih awal dari suami supaya anda sudah siap sedia apabila suami sudah mandi dan bersiap.

Pada awalnya mungkin anda rasakan sukar, tetapi dengan latihan saya pasti masalah buat suami tertunggu-tunggu akan lenyap untuk menjaga hati suami.

Urut badan suami

Semua suami suka apabila badan mereka dipicit dan diurut isteri. Anda tak perlu sijil atau kemahiran mengurut yang tinggi. Urutan isteri tak perlu sama dengan tukang urut profesional. Cukup sekadar memicit tubuh suami dengan lembut untuk menghilangkan penat beliau.

Boleh juga anda gunakan masa mengurut suami untuk berbual mesra supaya suami lebih dekat dengan anda. Buat beliau selesa dan tenang.

Anda boleh gunakan kesempatan ini untuk meminta apa yang anda inginkan dari suami. Besar kemungkinan beliau akan menunaikan permintaan anda.

Pastikan rumah sentiasa kemas dan tersusun

Lumrah manusia tak suka rumah yang semak. Lebih semak rumah anda, lebih serabut minda anda. Lebih serabut minda, lebih mudah anda naik darah dan sebagainya. Stress juga semakin meningkat.

Jika anda seorang yang benci tugas mengemas rumah, dan suami anda juga begitu, bagaimana nak selesaikan masalah ini?

Penyelesaiannya sangat mudah. Elakkan diri dari membuat semak di rumah. Sebagai contoh jika sebelum ini anda gemar melempar baju dari memasukkan ke dalam bakul, beli bakul banyak-banyak supaya mudah anda meletakkan baju di dalam bakul.

Saya tahu cakap memang mudah. Tetapi percayalah, sukar untuk menukar tabiat buruk sekali gus. Lebih mudah jika anda menukar tabiat yang kecil sedikit demi sedikit. Lama kelamaan ini akan menjadi biasa dan mudah.

Satu langkah setiap masa untuk keharmonian rumahtangga. Saya tahu anda boleh.

Jangan meminta sesuatu di luar kemampuan suami

Kaum wanita nafsu mereka tinggi, terutama terhadap objek dunia. Tak hairan jika perkataan materialistik selalu ditujukan kepada kaum wanita. Kadangkala kita inginkan sesuatu barang yang di luar kemampuan suami. Nak sangat-sangat, tapi tak mampu.

Mintak kepada suami, suami tak setuju, terus merajuk atau makan hati. Jangan begitu. Anda perlu tahu kemampuan suami anda. Jika beliau ada wang lebih, mungkin beliau ingin gunakan wang tersebut untuk perkara lain yang lebih penting.

Jadi sebelum meminta sesuatu daripada suami, kenal pasti dahulu kemampuan suami anda. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuan suami.

Jangan selalu menolak permintaan suami

Anda bertuah jika suami anda bukan jenis yang suka meminta-minta dari isteri. Atau beliau bersikap demikian kerana beliau tak perlu meminta. Anda pandai menjaga keperluan beliau sehingga beliau tak perlu meminta apa-apa dari anda.

Tetapi jika suami anda gemar meminta-minta dari anda, adakah anda menunaikan permintaan beliau? Mungkin sukar untuk isteri menunaikan setiap permintaan suami. Tetapi jika boleh, tunaikanlah. Jangan terlalu kerap menolak permintaan suami.

Mungkin suami anda tak kisah. Tetapi secara tak sedar satu saranan negatif akan tertanam dalam minda beliau. Buruk akibatnya untuk kebahagiaan rumahtangga anda berdua.

Hargai setiap pemberian/hadiah dari suami walaupun tidak seberapa

Adakah suami anda menghargai anda dengan selalu membelikan hadiah? Atau sebaliknya? Tak kisah suami anda tergolong dalam kategori yang mana satu dari dua kategori tersebut.

Yang penting ialah anda perlu menghargai setiap pemberian suami.

Jika suami anda gemar membelikan hadiah, mungkin anda merasakan perkara tersebut telah menjadi kebiasaan. Oleh itu anda kurang menunjukkan sikap teruja dengan hadiah suami. Suami anda juga mungkin meletakkan perkara tersebut sebagai wajib. Lama kelamaan perkara tersebut menjadi rutin dan tiada lagi keseronokan dalam melakukan perkara tersebut.

Begitu juga jika suami anda jarang memberi hadiah. Anda akan tertunggu-tunggu dengan pemberian beliau. Dan apabila beliau memberikan sesuatu kepada anda, ianya tidak seperti yang anda harapkan. Oleh itu anda tidak menunjukkan kegembiraan di hadapan beliau.

Oleh itu pastikan anda menghargai setiap pemberian suami. Tak kira murah atau mahal, besar ertinya atau tidak. Tunjukkan anda benar-benar ikhlas dan bersyukur dengan pemberian beliau. Ini adalah tip penting untuk membuat rumahtangga sentiasa bahagia.

Jangan terlalu kongkong, beri sedikit kebebasan

Semua insan tidak suka dikongkong. Anda begitu, suami anda juga begitu. Tetapi sikap memberontak ini lebih kuat pada kaum lelaki berbanding kaum wanita.

Sesetengah suami suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Menonton TV bersama isteri, atau melayan anak-anak di rumah. Ini adalah suami idaman setiap isteri.

Tetapi ada juga suami yang suka keluar minum bersama kawan-kawan. Tak kisahlah kalau kadang-kala sahaja mereka menghabiskan masa di luar, tetapi kalau setiap malam, isteri mana yang tak tarik muka.

Perlukah anda marah jika suami anda keluar minum bersama rakan-rakan setiap malam? Sudah pasti. Tetapi jangan pula anda larang beliau dan sekat kebebasan beliau. Tercabar ego beliau.

Cara terbaik ialah dengan mewujudkan situasi untuk membuat beliau sentiasa lekat kat rumah. Sebagai contoh selalu masak masakan kegemaran beliau supaya beliau tak makan kat luar. Atau minta beliau bantu anak-anak dengan kerja sekolah mereka, dan sebagainya.

Yang penting anda tidak melarang atau menyekat kebebasan beliau secara langsung.

Masak untuk suami dan keluarga

cara memikat suami masak untuk suami

Percaya tak jika saya katakan semua suami suka makan masakan isteri, walaupun masakan isteri mereka tak sedap, dan tak sehebat makan di restoran. Ini adalah jenis psikologi yang timbul daripada makan masakan ibu di rumah semasa kecil.

Oleh itu anda perlu gunakan tip ini sebagai salah satu cara memikat suami. Biasakan diri anda memasak untuk suami dan anak-anak. Tak apa jika anda tak pandai masak. Anda boleh belajar, dan dengan latihan, semua orang akan pandai memasak.

Yang penting ialah anda masak masakan kegemaran suami. Lebih beruntung lagi jika anda mendapatkan resipi masakan kegemaran suami dari ibu mertua anda. Tip yang sangat mudah untuk memikat hati suami.

Mandi bersama suami

Bila kali terakhir anda mandi bersama suami? Atau anda tak pernah langsung mandi bersama suami?

Mandi adalah satu aktiviti yang menyegarkan dan menyeronokkan. Rugi jika anda tak melakukan aktiviti ini bersama suami. Mandi bersama akan mewujudkan keintiman yang sukar untuk anda capai dengan aktiviti harian yang lain.

Anda berdua boleh mengambil giliran untuk menggosok badan pasangan, dan sebagainya. Cuma pastikan anda berdua tak diganggu ketika mandi bersama. Nanti hilang pula mood.

Hormat bukan takut kepada suami

Anda harus tahu perbezaan antara hormat dan takut kepada suami. Hormat atau menurut setiap perintah suami tidak semestinya bermaksud anda takut kepada suami.

Suami akan lebih sayang kepada anda sekiranya anda menurut perintah beliau. Tetapi sekali lagi saya katakan, ini tidak bermakna anda takut kepada suami. Jangan wujudkan perasaan takut kepada suami anda. Ini adalah sikap negatif yang amat buruk.

Wujudkan sikap hormat kepada suami. Beliau adalah ketua keluarga. Ayah kepada anak-anak anda. Jadi kenapa masih tiada sikap hormat kepada suami? Betul suami anda tidak sempurna dan kadang-kadang beliau melakukan kesalahan. Tetapi ini tidak bermakna anda harus hilangkan rasa hormat anda kepada beliau.

Cuba untuk timbulkan rasa hormat kepada suami. Secara tidak sedar anda akan melayan suami dengan baik. Dan secara tak langsung suami juga akan mula hormat kepada anda. Ini adalah ‘win and win situation’ untuk anda berdua.

Jadi pendengar yang baik

Terdapat individu yang dilahirkan sebagai pendengar yang baik. Dan terdapat juga individu yang dilahirkan sebagai seorang pencerita. Tak kisah anda tergolong di dalam golongan yang mana satu. Kedua-dua sifat ini boleh dilatih jika anda tekun dengan latihan.

Apabila suami anda mengadu sesuatu, atau sekadar ingin bercerita, anda perlu menjadi seorang pendengar yang baik. Jangan buat endah tak endah atau melakukan kerja lain. Ini menunjukkan anda tidak memberi perhatian kepada apa yang ingin beliau sampaikan. Silap hari bulan tersentap ego beliau.

Apa salahnya anda hentikan sekejap kerja yang sedang anda lakukan. Duduk dekat dengan suami, dan beri perhatian terhadap luahan hati beliau. Berikan komen hanya jika diminta suami. Tunjukkan anda benar-benar peka dengan apa yang sedang beliau sampaikan.

Secara tak langsung suami anda akan lebih kerap meluahkan perasaan beliau kepada anda. Beliau akan menjadi lebih selesa mengadu apa sahaja dengan anda kerana anda seorang pendengar yang setia.

Anda tak perlu bersusah payah, cuma mendengar sahaja. Bukankah ini salah satu cara memikat suami yang mudah?

Sentiasa jujur dan berterus terang

Tahu tak sebenarnya tak wujud istilah “Tipu Sunat”? Kerana menipu akan memberi kesan buruk pada jangka masa panjang.

Mungkin anda boleh lepas ketika anda menipu ‘sunat’ kepada suami, tetapi secara tak sedar anda akan menanam sikap suka menipu kerana anda menganggap tak apa menipu untuk menyelamatkan rumahtangga. Lama kelamaan anda akan menjadi seorang yang menipu dengan suami. Tak apa kalau tak kantoi, tetapi sekali anda kantoi dengan suami, anda sendiri tahu akibatnya.

Oleh itu sentiasa berlaku jujur dengan suami. Jika anda melakukan kesalahan, minta maaf dengan ikhlas kepada suami. Tunjukkan yang anda benar-benar menyesal dan tak akan mengulangi kesalahan tersebut. Yang penting jangan menipu.

Jika anda ingin menolak permintaan suami, berterus terang kenapa anda tidak dapat melakukan apa yang beliau pinta. Jangan memberi alasan dengan menipu atau berdolak-dalik.

Percayalah tidak ada pengakhiran yang baik yang akan timbul dari menipu.

Dekatkan diri dengan keluarga suami

Ramai isteri yang cemburu dengan ibu mertua mereka. Mereka tidak mahu berkongsi kasih sayang suami dengan ibu mertua mereka. Jika anda tergolong di dalam golongan isteri begini, anda sebenarnya rugi.

Jika anda pandai mengambil hati ibu mertua anda, atau keluarga suami anda, secara tak langsung hilang satu masalah untuk suami anda. Beliau akan berterima kasih kepada anda dan saya jamin beliau akan lebih menghargai anda sebagai isteri yang rapat dengan ibu beliau.

Pernah seorang isteri yang baru melahirkan anak mengadu kepada saya tentang suami yang beria-ia ingin anak mereka dijaga oleh ibu suami. Mereka berdua bekerja, dan menurut beliau suami beliau sangat hormat dan sayang kepada ibunya.

Beliau agak menentang permintaan suami ini kerana beliau tak mahu anak beliau lebih menyayangi ibu mertua beliau dari ibu kandung. Jika anda, apakah nasihat yang akan anda beri kepada ibu muda ini?

Nasihat saya kepada beliau ialah beliau tidak perlu cemburu dengan ibu mertua sendiri. Beliau tidak berfikir secara rasional dan lebih kepada emosi. Jika dilihat dari sikap suami beliau yang amat hormat dan sayang kepada ibunya, sudah pasti ibu mertua beliau berjaya dalam mendidik anak-anak menjadi seorang yang berpekerti mulia.

Jadi tidak rugi jika ibu mertua beliau mendidik anaknya, iaitu cucu beliau sendiri supaya mereka juga berpekerti mulia seperti suami beliau.

Tambahan pula sudah pasti kehadiran anak beliau akan dapat mengubat kesunyian ibu mertua. Dan sudah pasti anak tersebut akan diberikan kasih sayang sepenuhnya oleh ibu mertua beliau.

Oleh itu anda tidak perlu teragak-agak untuk mengambil hati ibu mertua dan keluarga suami. Saya pasti suami anda akan tersenyum setiap kali melihat anda melayan ibu beliau. Silap hari bulan ibu mertua lebih sayang kepada anda berbanding anak beliau sendiri.

Amalkan Tip Cara Memikat Hati Suami ini

Saya tahu tip yang saya berikan kali ini agak panjang. Tetapi tahniah saya ucapkan kerana anda berjaya membaca sehingga habis.

Walaupun sesetengah tip memikat suami ini mungkin sukar untuk anda amalkan atau praktikkan dengan serta merta, jangan risau. Lakukan perlahan-lahan. Ambil masa anda. Tak perlu terburu-buru.

Setiap langkah kecil yang anda ambil untuk meningkatkan kebahagiaan rumahtangga anda lebih baik dari berfikir untuk mengambil langkah yang besar, tetapi akhirnya tidak dilakukan.

Jika anda ingin lebih tip dan teknik bagaimana untuk meningkatkan kebahagiaan rumahtangga, dan mengembalikan keharmonian dalam hidup anda berdua, anda boleh dapatkan panduan-panduan E-buku yang saya terbitkan.

Panduan Kamasutra Bergambar ditulis khusus untuk memberi pendedahan terhadap ilmu Kamasutra kepada pasangan suami isteri, manakala Panduan Seni Ciuman pula mengandungi tip bercium dan menggoda terbaik.

Anda boleh mendapatkan kedua-dua panduan E-buku ini melalui link di bawah:

Klik di sini untuk membaca lebih lanjut dan mendapatkan panduan Kamasutra Bergambar

Klik di sini untuk membaca lebih lanjut dan mendapatkan panduan Seni Ciuman

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email
Share on print
Print

Tip Berkaitan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan Tip Terbaru Terus ke Email Anda!

Masukkan Email anda di bawah dan dapatkan setiap tip terbaru terus ke inbox anda.